Thursday 12 October 2017

Laman Anak Kadayan

MAKLUMAN :
Mulai hari ini laman blog ini adalah merupakan laman persendirian dan tidak ada kaitan dengan Persatuan Kadayan Sabah.
Oleh kerana laman ini mendapat sambutan yang sangat mengalakkan sejak ia diwujudkan, maka saya akan kembali mengaktifkan laman ini. Saya amat menghargai kunjungan dan sokongan semua pengunjung selama ini.
Terima kasih.

Thursday 14 August 2014

Kedayan Sepintas Lalu

Sumber :  http://s1.zetaboards.com/anaksarawak/topic/3811949/1/

Kaum Kedayan berjumlah sekitar 100 ribu orang di Malaysia dengan tumpuan penempatan di bahagian utara Sarawak dan Teluk Brunei di Sabah. Nama Kedayan dipercayai berasal dari kata Kedayan atau Kadang Kadayan yang membawa maksud pengikut atau 'retainer' kepada kerabat di raja. Nama ini dipercayai diperolehi bersempena dengan pekerjaan awal nenek moyang mereka yang diyakini berasal dari tanah Jawa atau dari wilayah-wilayah yang mempunyai pengaruh Jawa yang kuat.

Kepercayaan awal mengatakan yang bangsa Kedayan ini berasal dari 40 orang tukang dan pengikut Raden Angsuka Dewa putera raja Majapahit yang kalah bersabung ayam dengan Alak Betatar. Mereka menjadi taruhan dan gadaian.Peristiwa ini dikatakan berlaku sekitar tahun 1340an. Penempatan asal mereka dikatakan terletak di Mejawa Jerudong Brunei. Orang-orang tua Kedayan dahulu sering menyebut perkataan Kedayan Mejawa. Nama Kedayan Mejawa juga pernah disebut dalam kajian lisan asal usul Kedayan oleh UMS di Labuan.

Kedua, Kedayan dikatakan pengikut puteri Lela Menchanai permaisuri Sultan Bokiah. Samaada mereka dibawa direct dari lingkungan Istana Jawa atau tidak itu tidak pasti. Mungkin mereka ini merupakan keturunan rombongan kapal yang dibawa bersama-sama dengan Puteri Lela Menchanai. Ini adalah kerana ada pendapat yang mengatakan sewaktu berada di Jawa, baginda Sultan Bolkiah telah menawarkan beberapa orang Jawa untuk berhijrah ke Brunei dan menanam padi serta tanaman di sana, kerana baginda kagum dengan keahlian bangsa Jawa ini dalam bidang pertanian. Rekod di Brunei juga mencatatkan yang bangsa Kedayan merupakan bangsa yang pertama memperkenalkan penanaman padi sawah di sana.

Tapi di dalam Syaer Awang Semaun, tercatat yang bangsa Kedayan telah wujud seawal kewujudan Alak Betatar lagi. Ini disebut di dalam kisah orang Kedayan telah menolong angkatan laut Johor mencari Puteri Dayang Pingai yang diculik oleh Awang Semaun untuk diperisterikan oleh Alak Betatar. Mungkin kedua-duanya benar. Kumpulan Kedayan yang pertama ialah keturunan pengikut Raden Angsuka Dewa dan kumpulan yang kedua ialah rombongan dari Jawa yang di bawa oleh Sultan Bolkiah dalam tahun 1524 Masihi.

Bangsa Kedayan boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan iaitu Kedayan Salar, Kedayan Tambing dan Kedayan Melabau. Kedayan Salar ialah Kedayan yang asli dan pure, Kedayan Tambing ialah Kedayan Peranakan dan Kedayan Melabau ialah Kerabat di Raja Brunei yang menyamar menjadi Kedayan dan seterusnya menjadi Kedayan untuk mengelakkan dari dibunuh akibat perebutan takhta. Kedayan Melabau lebih dikenali sebagai Orang Melabau. Orang Melabau juga sebenarnya mempunyai darah Kedayan melalui ibu mereka. Kedayan keturunan Melabau akan menggunakan nama Paduka didepan nama bagi menggantikan Pangeran.Nama lain bagi orang Kedayan ialah Bangsa Brunei Darat atau Orang Darat.

Dalam sejarah Brunei, peranakan Kedayan yang paling dikenali ialah Yang Amat Mulia Pengeran Kassim atau Orang Kaya Kassim atau Orang Kaya Harimau Padang. Ibunya seorang Kedayan berasal dari Jerudong tapi tiada nama direkodkan. Baginda merupakan putera kepada Sultan Saiful Rijal. Sultan Saiful Rijal dikatakan pernah mendirikan istana di kawasan Sungai Kedayan berdasarkan penemuan arkeologi. Sumbangan terbesar Pangeran Kassim ialah mengalahkan angkatan Kastilla Sepanyol bersama-sama dengan Pangeran Bendahara Sakam dan 100 orang pahlawan Brunei.

Pemimpin Kedayan kedua paling terkenal ialah Mantri Kedayan Paduka Seri Laila Orang Kaya Besar Imas dari Subok pada abad ke 18. Beliau merupakan anak kepada Pangeran Muda Besar Abdullah dengan seorang Kedayan, Dayang Siti Ambong binti Abdul Rahman. Orang Kaya Besar Imas bertanggungjawab membantu Sultan Muhyiddin menewaskan Sultan Abdul Mubin dalam perang 12 tahun. Pada zaman beliau ini keturunan Kedayan Melabau wujud. Menurut catatan, saudara Orang Kaya Besar Imas, Pangeran Anak Jamluddin lari dari istana akibat takut dibunuh oleh orang suruhan Sultan Jalilul Jabbar -Pangeran Muda Besar Sulong. Sebelumnya ayah Pangeran Anak Jamaluddin, Pangeran mUda Besar Abdullah dibunuh oleh pengawal istana berketurunan Bugis -Junggal bin Minu. Keturunan orang Melabau terkenal yang lain ialah Paduka Seri Wahab - Raja di Darat (diiktiraf Sultan Hashim), Panglima Paduka Jais anak Paduka Nayan. Panglima Paduka Jais pernah merantau keseluruh Pulau Paaca ( Kedayan bagi Perca -Borneo) mencari orang-orang Kedayan untuk mendapat sokongan bagi merampas kembali takhta kerajaan kepada yang berhak. Pada zaman ini berlaku permusuhan yang ketara di antara Raja Di Laut ( Brunei) dan Raja di Darat ( Kedayan )...

Pemimpin Kedayan lain yang terkenal ialah Panglima Datu Seri Setia Ghaffar Salam hidup pada zaman Sultan Hashim Aqamaddin. Sumbangan yang kekal sehingga sekarang ialah nama Bukit Kota. DUN Bukit Kota Limbang mendapat nama bersempena dengan tempat ini. Bukit Kota merupakan pusat pertahanan beliau menentang Datu Kalam dalam peristiwa Ayau Sangkai Kalam.


Banyak lagi kisah mengenai bangsa Kedayan yang perlu dikaji dan diketengahkan antaranya Panglima Saban ( Kedayan Sabah dikatakan pengikut beliau), Panglima Kunchang, Haji Brunei ( Pemimpin Kedayan Pulau Pinang zaman Francis Light), Penghulu Haji Abdul Ghafur ( pemimpin dan pengasas penempatan Kedayan Sibuti Miri ), Juragan Landak (pemimpin Kedayan di Kuching zaman Brooke), Beliau Samah dan Radat dari Bukit Sari ( pengasas penempatan Kedayan di Lundu) dan lain-lain. Begitu juga sumbangan 300 orang Kedayan bersama-sama Pangeran Yusuf yang cuba menentang peluasan kuasa oleh James Brooke dengan cuba merampas kuasa dari jatuh ketangan Pangeran Muda Hashim.

Malagau Punai ( Memikat Burung Punai )

Sumber: Harian Ekspres, Terbitan : 7 April 2009
Oleh Jinius Pandakin

SIPITANG: Biasanya kita hanya mendengar burung ditangkap menggunakan jerat, guna getah kayu atau pukat burung. Namun Suku Kedayan di Sipitang mempunyai cara tersendiri dan unik untuk menangkap burung, terutamanya burung punai tanah.

Burung punai tanah seakan-akan seperti burung merpati tetapi saiznya agak kecil.

Selain kepakaran memikat burung, suku Kedayan juga terkenal dengan tarian Anding dan permainan muzik kayu Sadaman. Kaum Kedayan kebanyakannya tinggal di daerah Sipitang. Selain Sipitang masyarakat ini juga tinggal di Beaufort, Labuan, Merapok dan Lawas di Sarawak.

Cara menangkap burung oleh orang Kedayan disebut dalam dialek mereka sendiri 'melagau'bermaksud 'memanggil'.

Seorang penangkap burung, Shunie Adi, 50, berkatauntuk 'melagau' burung dia perlu membina sebuah rumah kecil yang dinamakan 'bumbun'.

Berasal dari kampung Sungai Bubus, kira-kira 6.5 km dari bandar Sipitang, Shunie berkata, 'bumbun' itu dibuat seperti rumah 'Red Indian' zaman 'koboi' di Amerika.

"Bumbun ini diperbuat daripada anak-anak kayu sebanyak tujuh batang yang lurus dan ditutup dengan daun-daun. Bumbun ini boleh menempatkan satu atau dua orang di dalam dan jika dilihat dari luar, burung yang di 'lagau' (dipanggil) tidak akan sedar ada sesiapa di dalam 'bumbun' itu.

Di depan, lubang kecil 'bumbun' ini dibuat satu tapak seperti padang kecil tempat burung-burung punai hinggap. Tapakmini jaraknya tujuh tapak kaki dari 'bumbun' dan tujuh tapak kaki lebar orang dewasa yang dibersihkan. Semasa memanggil burung, tapah ini ditabur makanan seperti padi atau jagung.

Satu alat khas yang dipanggil 'dukut' diperbuat daripada bambu nipis yang ukur lilit bulatannya 4 sm dan 98 sm panjang dan hujungnya disambung dengan buluh nipis berbentuk seperti alat muzik.

Alat ini ditiup dari dalam bumbun yang mengeluarkan bunyi seperti burung punai tanah iaitu 'poo'. Ia ditiup tujuh kali berselang seli. Bunyi dukut itu akan menjadi tarikan burung yang ada di sekitarnya.

Kata Shunie, burung yang datang di tapak rumah 'bumbun' itu, semasa memakan umpan yang ditabur akan menjadi leka.

"Sebelum 'melagau' dilakukan, terlebih dahulu 'mantera' dibaca dan beberapa petua dilakukan sebanyak tujuh kali, mengambil tujuh helai daun kayu yang tumbuh dari arah depan bumbun bertujuan memanggil semangat burung itu dan tapak di mana burung itu turun juga ditanam 'benda' yang boleh menarik perhatian burung suoaya datang ke tempat tersebut.

"Beberapa 'gerakan' seperti memusing-musing dukut sebanyak tujuh kali akan dilakukan oleh si pemanggil di depan bumbun sebelum memulakan kerja melagau", katanya.

Shunie turut 'menurunkan' sedikit penulis dan mendedahkan 'benda' yang dikuburkan. Tetapi ia dirahsiakan.

Jika silap melagau kata Shunie, lain yang akan datang. 'Orang halus' yang menyerupai binatang atau perempuan yang akan datang.

Menurutnya, jika ada sekumpulan lalat besar berwarna hijau, maka ini bermakna ada sesuatu yang cuba menganggu. Tetapi biasanya kejadian seperti ini jarang berlaku.

Dalam pada itu, burung-burung yang mendengar bunyi dukut itu akan turun betul-betul di tapak yang disediakan dan akan menjadi jinak seperti 'dipukau'.

Burung itu juga boleh ditangkap menggunakan tangan. Namun cara ini akan menakutkan burung yang lain.

Semasa burung leka makan makanan yang ditabur, pada masa itulah sipenangkap mengikatdi bahagian leher burung menggunakan tali penarik yang dipanggil 'jahil'. Satu persatu burung itu dikait dan ditarik secara perlahan-lahan masuk ke dalam 'bumbun'.

Anehnya, burung yang dikait tidak akan melawan dan tanpa disedari oleh burung-burung yang diperangkap di sana.

"Burung yang dijahil itu ditangkap dan dimasukkan ke dalam kurungan khas," kata Shunie menambah kekuatan mantera boleh menarik perhatian binatang lain seperti pelanduk, kijang atau payau.

"Ayah saya pernah menangkap seekor kijang menjerat kaki kijang menggunakan tali dari akar kayu yang teguh. jika ada banyak burung, biasanya sipenangkap akan mendapat di antara 14 ekor dan 70 ekor sehari.

"Burung ini dijual dengan harga RM3.50 seekor dan laris di Sipitang," katanya.

Menuruutnya, bulan Jun dan Julai adalah musim burung punai kerana pada bulan inilah ada banyak buah kayu digemari burung ini.